Pages

Tuesday, October 26, 2010

Kisah Rumah Usang dan Hari Minggu


Pada zaman dahulu, terdapat sebuah rumah di sebuah kampung yang amat aman dan damai... kehijauan terserlah dek hutan-hutan dan pepohon buah-buahan... disebelah satu lagi pula... kebiruan terselah dek keindahan laut China Selatan, deruan ombak yang menghempas pantai terdengar jelas di beranda rumah. Rumah papan bewarna maroon, beratap zink, bertingkap nakoh. Di hadapan rumah tersebut, 3 batang pokok, pauh dan mempelam sedang rancak berbunga...Angin kencang kadang-kala menyebabkan bunga-bunga berguguran di hadapan rumah. Tidak ketinggalan pohon-pohon kelapa tinggi melambai... kerap juga, buah-buah kelapa kering gugur menimpa rumah...lalu terjagalah anak-anak kecil di dalam rumah. Kawasan lapang di hadapan rumah sering menjadi tempat anak-anak bermain...

Bersebelahan kanan rumah, hanyalah semak-samun dan pokok-pokok hutan renek... di belakang pula, pokok-pokok buahan hidup merimbun...entah berapa usianya... pokok pandan juga tidak kurang hebatnya, begitu merumpun sehingga menjadi tempat si katak beradu... beberapa batang pokok pisang hidup subur di dalam pagar...di bahagian barat laut pula...hutan tebal yang penuh dengan hidupan liar... Di sebelah kiri rumah, terdapat sebuah lagi rumah bewarna putih... di sebelah rumah putih pula...sebuah lagi rumah usang bewarna kelabu.... bersebelahan rumah kelabu tersebut... kebun buah yang tidak terjaga lalu menjadi seakan-akan hutan kecil....

Rumah usang itu, agak jauh di atas bukit... agak jauh dari jalan kampung, apatah lagi dari jalan utama... laluan ke rumah, seakan denai gelap peninggalan Jepun... pokok-pokok hutan merimbun menjadikannya seakan-akan terowong gelap... Di dalam kelompok yang sama, terdapat beberapa rumah kayu lain... dihuni keluarga-keluarga...anak-anaknya saling bersahabat...

Pada awal 1990 an, rumah 3 bilik tersebut dihuni oleh sebuah keluarga, sangat sederhana dengan anak-anak nakal yang sedang membesar. Kokokan ayam pada dinihari sering mengejutkan si ayah dan emak...diikuti pula, laungan azan sayup-sayup dari surau berhampiran... Anak- anak masih nyenyak dibuai mimpi...namun tidak si adik kecil, dia bangun sambil jari jemari mongelnya menyelak selimut tebal yang membaluti tubuh... Dia bangun menuju ke dapur, melihat emaknya yang sedang menyediakan sarapan... si ayah pula, masih belum pulang dari solat subuh di surau...

Begitu asyik si kecil melihat ibunya memasak, sambil bersila di atas lantai bersimen hijau muda... Mulutnya petah bertanya itu dan ini kepada emaknya... lalu si ayah pulang membawa kuih-muih... si anak gembira mendapat donut kesukaan... Si emak menegah "Gilah mandi-mande dulu" lantas si anak membalas dengan pelatnya "ak boh la mok, alang de atok isang, akot lah"...Emaknya membalas "katok dok kaca orang".... perbualan itu mati tatkala si anak berusia 4 tahun itu meneruskan kunyahan donutnya...

Matahari mulai meninggi, perbualan si ayah, si emak dan si adik kecil yang sedang menjamu selera dikejutkan dengan gegeran di dinding dapur... lalu muncullah seraut wajah mengantuk menjengah di atas dinding dapor yang tidak bersambung ke shiling... "mok masok ape?" si abang bertanya... Pagi itu, si ayah sedang sibuk mencuci kereta protonnya...sambil berbual bersama si abah rumah sebelah... Emak pula sedang sibuk membersihkan rumah... anak-anak bermain-main bersama rakan...si kecil tidak ketinggalan bertandang ke rumah saudara, bermain permainan yang ada... kerana di rumah sendiri tiada... masak-masak, cikgu-cikgu, doktor-doktor, jual-beli... semua dicuba... si adik kecil begitu suka menunggang kuda plastik beroda 4 kepunyaan saudaranya... Kadang-kala, masa pagi si anak diisi dengan menonton rancangan kesukaan...

Tengahari itu, si emak meminta anak-anak ke kedai, membeli barangan bagi memasak santapan tengahari... lalu si anak berebut-rebut menawarkan diri...niat di hati, mahu meminta sedikit wang untuk membeli aiskrim itik berharga 20 sen dan makanan ringan... Apabila petang menjelma, anak-anak menyambung kembali permainan...kali ini lebih lasak, tidak kira kecil atau besar...semua bermain 'rounders' yang dipanggil mereka bola katok... kadang-kala bola kaki tiga menjadi pilihan... diambil selipar ayah-ayah mereka untuk dijadikan sasaran... ayah dan emak di beranda rumah, hanya melihat telatah anak-anak dan rakan-rakan mereka....

Berlabuhnya tirai malam, keadaan menjadi kelam...tiada aktiviti yang dilakukan... ayah masih di surau, emak dan anak-anak menonton televisyen... TV usang jenama NEC yang dibeli si emak diawal 1980an tatkala TV berwarna mula diperkenal... lewat malam itu, tiada beza dengan hari-hari biasa... bayu laut bertiup sepoi-sepoi bahasa menyusup masuk menerusi rongga-rongga tingkap dan dinding... lalu si anak kecil terlelap di ribaan emaknya~~~


~In memory of my childhood, the days to keep in mind~

0 comments:

 
Copyright 2012 DiyanaVille. Powered by Blogger
Blogger by Blogger Templates and Images by Wpthemescreator
Personal Blogger Templates